Sunday, September 13, 2009

Puasa

PUASA
(Petikan dari Kitab Tuntutan Ibadah: Perukunan Ibadah Sepanjang Zaman oleh As-Shaikh Ali b. Abdullah)
Ertinya:
Menahan diri dari makan dan minum atau apa-apa jua yang boleh membatalkan puasa, sepanjang hari mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari dalam sebulan bulan Ramadhan.
Perintah wajib puasa turun pada bulan Sya’ban Tahun 2 Hijrah.
Dalil
Perintah wajib puasa : Surah Al-Baqarah Ayat 183:
Bermaksud: Hai orang-orang yang beriman diwajibkan atasmu berpuasa, sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa
Wajib Puasa:
1) Islam
2) Mukalaf
3) Berkuasa/Mampu untuk berpuasa, tidak uzur
4) Telah melihat anak bulan Ramadhan atau mensabitkan bulan Ramadhan dengan menggenapkan bulan Sya’ban 30 hari.
Sah Puasa:
1) Beragama Islam sahaja, lelaki, perempuan dan kanak-kanak yang telah mumaiyyiz.
2) Suci dari haid dan nifas.
3) Sempurna akal fikirannya sepanjang hari itu.
4) Bukan pada hari yang tidak sah puasa eg. Hari Raya Puasa, Hari Raya Haji dan Hari Syak (30hb Sya’ban).
(Pulang ke Laman Hadapan)
Rukun Puasa:
1) Niat, di waktu malam mulai selepas Maghrib sampai sebelum terbit fajar.
2)
3) Meninggalkan semua perkara-perkara yang membatalkan puasa sejak terbitnya fajar sampai terbenamnya matahari.
Membatalkan Puasa:
Sekiranya
1) Memasukkan benda/sesuatu ke dalam jauh rongga seperti mulut, hidung, telinga, atau lubang-lubang kemaluan dengan sengaja.
2) Muntah dengan sengaja.
3) Mengeluarkan mani dengan sengaja.
4) Haid atau nifas.
5) Bersetubuh di siang hari (selain membatalkan puasa ia juga ada hukum tersendiri iaitu diwajibkan membayar kifarah).
6) Murtad (keluar dari Islam).
7) Gila (hilang akal).
Pantang-larang puasa:
Iaitu perkara-perkara yang membatalkan pahala puasa, maknanya berpuasa tidak mendapat apa-apa pahala kecuali lapar dan dahaga (puasa yang sia-sia).
1) Berdusta, berbohong.
2) Mengumpat, mengata orang.
3) Membuat sesuatu yang boleh mendatangkan permusuhan.
4) Melihat benda-benda yang mendatangkan keinginan.
5) Marah.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Bermaksud: “Barangsiapa yang tidak meninggalkan cakap dusta (batil) dan perbuatannya, maka Allah tidak berhajat padanya dalam meninggalkan makan minumnya”.
(Hadis Riwayat Muslim)
(Pulang ke Laman Hadapan)
Bermaksud: “Bukan dinamakan puasa bila hanya sekadar menahan makan dan minum, tetapi puasa yang sungguh-sungguh itu adalah menahan diri dari percakapan yang tidak ada gunanya dan kata-kata yang keji”.
(Hadis menurut Sahih Muslim)
Sunat-sunat Puasa:
1) Menyegerakan berbuka puasa apabila telah yakin waktu berbuka.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Bermaksud: “Allah berfiman: Hambaku yang lebih Aku cintai adalah mereka yang menyegerakan berbuka”.
2) Makan sahur walaupun sedikit.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Bermaksud: “Makan sahur itu berkat, oleh kerana itu jangan kamu tinggalkan, walau hanya sekadar meneguk seteguk air, kerana Allah merahmati orang-orang yang makan sahur dan malaikat mendoakannya”.
3) Melambatkan makan sahur iaitu lepas daripada tengah malam dan sebelum waktu imsak.
4) Berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang manis.
5) Memperbanyakkan membaca Al-Quran.
6) Memperbanyakkan sedekah.
7) Beriktikaf siang hari dalam masjid.
Cool Menghadiri majlis-majlis ilmu.
9) Menyediakan makanan untuk berbuka untuk orang-orang berpuasa.
10) Jangan bersugi setelah tergelincir matahari ke arah barat sehingga terbenamnya matahari kerana boleh memakruhkan puasa.
(Pulang ke Laman Hadapan)
Golongan Yang Harus (Dibenarkan) Berbuka Puasa:
1) Orang yang di dalam (perjalanan - musafir), tetapi wajib di qada’.
2) Orang sakit, wajib di qada’.
3) Ibu yang menyusukan anak, jika takut mudharat bagi dirinya, maka wajib qada’ dan jika takut mudharat bagi anaknya maka wajib qada’ dan fidyah.
Bacaan Niat Puasa:
1) Lafaz niat puasa Fardhu Ramadhan
“Sahaja aku berpuasa esok hari menunaikan Fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala”.
Bacaan Hendak Berbuka Puasa:
“Ya Tuhanku, keranaMu jua aku berpuasa, dan denganMu aku beriman dan di atas rezekiMu aku berbuka dengan belas kasihMu Ya Allah Ya Amat Mengasihi”.
(Pulang ke Laman Hadapan)
( Petikan dari Risalah Siri (11) : Sembahyang Tarawih, Terbitan Bahagian Agama, Jabatan Perdana Menteri (1981) – Cetakan Ketiga)
SEMBAHYANG TARAWIH
1. Hukum Sembahyang Tarawih:
a) Hukumnya sunat muakkad (yang sangat dituntut) bagi dikerjakan oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadhan samada secara berseorangan atau berjamaah.
b) Sunnat dikerjakan di masjid, surau dan lain-lain tempat sembahyang orang-orang Islam.
2. Waktu Sembahyang Tarawih:
Waktu sembahyang Tarawih ini ialah selepas menunaikan sembahyang Fardhu Isya’.
3. Rakaat Sembahyang Tarawih:
a) Pada umumnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan sembahyang Tarawih ini sebanyak 20 rakaat, tetapi ada juga yang hanya menunaikan sekadar 8 rakaat sahaja.
b) Pada zaman Rasulullah s.a.w. sembahyang Tarawih dikerjakan sebanyak 8 rakaat saja supaya tidak menimbulkan sesuatu keberatan.
c) Pada zaman Khalifah Umar bin Al-Khattab pula beliau menambah lagi menjadikan 20 rakaat kerana beliau berpendapat bahawa orang-orang Islam pada zamannya itu tidak keberatan lagi menunaikan sembahyang sebanyak itu.
d) Sembahyang Terawih hendaklah ditunaikan dua rakaat, pada tiap-tiap satu kali takbiratul-ihram kemudiannya dilakukan lagi sehingga genap rakaat yang dikehendaki.
4. Lafaz Niat Sembahyang Tarawih:
Bermaksud: Sahaja aku sembahyang Tarawih dua rakaat ma’mum kerana Allah Taala
(Pulang ke Laman Hadapan)
5. Rukun Sembahyang Tarawih
Rukun sembahyang sunat Tarawih ini sama sahaja dengan rukun sembahyang yang lain juga.
SEMBAHYANG WITR
1. Sembahyang Sunat Witr
a) Menurut kebiasaan umum orang-orang Islam di Malaysia menunaikan sembahyang Witr selepas sunat Tarawih ini sebanyak 3 rakaat sahaja. Sunat Witr ini ditunaikan secara berjamaah.
b) Salam selepas dua rakaat yang pertama.
c) Lafaz niat sembahyang sunat Witr
i- bagi dua rakaat yang pertama:
Bermaksud: Sahaja aku sembahyang Witr dua rakaat ma’mum kerana Allah Ta’ala.
ii- bagi rakaat yang akhir:
Bermaksud: Sahaja aku sembahyang Witr satu rakaat ma’mum kerana Allah Ta’ala.
d) Pada malam 16 hingga akhir Ramadhan adalah sunat dibaca [doa] Qunut pada rakaat yang akhir. Lafaz Qunut di sini sama juga dengan lafaz Qunut semmbahyang Subuh. Dan jika tidak membaca Qunut ini adalah disunatkan Sujud Sahwi.
(Pulang ke Laman Hadapan)
Petikan hadith-hadith mengenai puasa dari Sahih Bukhari dan Sahih Muslim
Kelebihan Ramadan
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: …Dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu
Kelebihan berpuasa
Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya di dalam Syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama mereka seorangpun selain mereka. Kelak akan ada pengumuman: Di manakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya
(Pulang ke Laman Hadapan)
Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap hamba yang berpuasa di jalan Allah, Allah akan menjauhkannya dari api Neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun
Akhlaq sewaktu berpuasa
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, janganlah bercakap tentang perkara yang keji dan kotor. Apabila dia dicaci maki atau diajak berkelahi oleh seseorang, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya hari ini aku berpuasa, sesungguhnya hari ini aku berpuasa
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan perbuatan tidak baik, Allah tidak inginkan tindakannya menahan diri dari makan dan minum (yakni Allah tidak menerima puasanya)
(Pulang ke Laman Hadapan)
Kelebihan bersahur
Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Hendaklah kamu bersahur kerana di dalam bersahur itu ada keberkatannya
Kelebihan menyegerakan berbuka
Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Seseorang itu sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka selalu menyegerakan berbuka puasa
Kelebihan Sembahyang Tarawih dalam bulan Ramadan
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Saya telah mendengar sabda Rasulullah s.a.w. mengenai Ramadan: Sesiapa yang mendirikan sembahyang (Tarawih) dalam bulan itu dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu
Kelebihan Lailatulqadar dan galakan untuk mencarinya
Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Carilah Lailatulqadar pada sepuluh hari yang terakir di bulan Ramadan
Ganjaran untuk amalan yang dilakukan pada malam Lailatulqadar
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang mendirikan sembahyang pada malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu
Beri’tikaf pada sepuluh hari terakhir Ramadan
Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w biasanya beriktikaf pada sepuluh hari yang terakhir dalam bulan Ramadan
Menambahkan amal ibadah pada sepuluh hari terakhir Ramadan
Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bermujahadah pada sepuluh hari yang terakhir bulan Ramadan tidak seperti bulan-bulan lain
(Pulang ke Laman Hadapan)
Makan dan minum kerana terlupa tidak membatalkan puasa
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang terlupa sedangkan dia berpuasa, lalu dia makan atau minum, hendaklah dia terus menyempurnakan puasanya kerana dia telah diberi makan dan minum oleh Allah
Tidak Batal Puasa Orang Yang Bangkit Dari Tidur Di Waktu Pagi Dalam Keadaan Berjunub
Diriwayatkan daripada Aisyah dan Ummu Salamah r.a, kedua-duanya berkata:: Nabi s.a.w bangkit dari tidur dalam keadaan berjunub bukan dari mimpi kemudian meneruskan puasa
Janganlah berpuasa sehari dua sebelum Ramadan
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Janganlah kamu berpuasa sehari atau dua hari sebelum tiba bulan Ramadan melainkan orang yang biasa berpuasa dengan puasa yang tertentu maka bolehlah dia berpuasa
(Pulang ke Laman Hadapan)
KELEBIHAN SEMBAHYANG SUNAT TARAWIH
Diriwayatkan oleh Saiyidina Ali (r.a.) daripada Rasulullah S.A.W., sebagai jawapan dari pertanyaan sahabat-sahabat Nabi S.A.W. tentang fadhilat (kelebihan) sembahyang sunat terawih pada bulan Ramadan:
Malam 1 - keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama sepertimana ia baru dilahirkan, mendapat keampunan dari Allah.
Malam 2 - diampunkan dosa-dosa orang mukmin yang sembahyang terawih serta kedua ibu bapanya (sekiranya mereka orang beriman).
Malam 3 - berseru Malaikat di bawah ‘Arash supaya kami meneruskan sembahyang terawih terus menerus semoga Allah mengampunkan dosa engkau.
Malam 4 - memperolehi pahala ia sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan AL-Quran.
Malam 5 - Allah kurniakan baginya pahala seumpama orang sembahyang di Masjidilharam, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.
Malam 6 - Allah kurniakan pahala kepadanya pahala Malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul Ma’mur (70 ribu Malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah-tanah mendoakan supaya Allah mengampunkan dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang terawih pada malam ini.
Malam 7 - Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa serta menolong Nabi ‘Alaihissalam menentang musuh ketatnya Fir’aun dan Hamman.
Malam 8 - Allah mengurniakan pahala orang sembahyang terawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Allah Ibrahim ‘Alaihissalam.
Malam 9 - Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W.
Malam 10 - Allah swt mengurniakan kepadanya kebaikan di dunia dan di akhirat.
Malam 11 - Keluar ia daripada dunia (mati) bersih daripada dosa seperti ia baru dilahirkan.
Malam 12 - Datang ia pada hari Qiamat dengan muka yang bercahaya (cahaya ibadatnya).
Malam 13 - Datang ia pada hari Qiamat dalam aman sentosa daripada tiap-tiap kejahatan dan keburukan.
(Pulang ke Laman Hadapan)
Malam 14 - Datang Malaikat menyaksikan ia bersembahyang terawih, serta Allah tiada menyesatkannya pada hari Qiamat.
Malam 15 - Semua Malaikat yang menanggung ‘Arasy, Kursi, berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.
Malam 16 - Allah swt tuliskan baginya terlepas daripada neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga.
Malam 17 - Allah kurniakan orang yang bertarawih pahalanya pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.
Malam 18 - Seru Malaikat: Hai Hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha kepada engkau dan ibu bapa engkau (yang masih hidup atau mati).
Malam 19 - Allah swt tinggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.
Malam 20 - Allah kurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang solihin.
Malam 21 - Allah binakan sebuah istana dalam Syurga daripada Nur.
Malam 22 - Datang ia pada hari Qiamat aman daripada tiap-tiap dukacita dan kerisauan (tidaklah dalam keadaan huru hara di Padang Mahsyar).
Malam 23 - Allah swt binakan kepadanya sebuah bandar di dalam Syurga daripada Nur.
Malam 24 - Allah bukakan peluang 24 doa yang mustajab bagi orang berterawih malam ini, (elok sekali berdoa ketika dalam sujud).
Malam 25 - Allah Taala angkatkan daripadanya siksa kubur.
Malam 26 - Allah kurniakan kepada orang bertarawih pahala pada malam ini seumpama 40 tahun ibadat.
Malam 27 - Allah kurniakan kepada orang bertarawih pahala pada malam ini ketangkasan melintas atas titian Siratulmustaqim seperti kilat menyambar.
Malam 28 - Allah swt kurniakan kepadanya 1000 darjat di akhirat.
Malam 29 - Allah swt kurniakan kepadanya pahala 1000 kali haji yang mabrur.
Malam 30 - Allah swt beri penghormatan kepada orang berterawih pada malam terakhir ini yang teristimewa sekali, lalu berfirman:
“Hai hambaKu: makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingini hendak makan di dalam syurga, dan mandilah engkau daripada air syurga yang bernama Salsabila, serta minumlah air
daripada telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang bernama ‘Al-Kauthar’”.
(Pulang ke halaman depan)

Amalan Wanita Yang Didatangi Haid

1. Hukum wanita yang didatangi haid memegang al-Qur’an
2. Hukum wanita yang didatangi haid membaca al-Qur’an

Antara soalan yang lazim dikemukakan oleh para muslimah adalah bagaimana mereka dapat memanfaatkan bulan Ramadhan apabila didatangi haid. Ini kerana apabila mereka didatangi haid, mereka tidak boleh berpuasa, tidak boleh bersolat – khasnya solat tarawih dan tidak boleh membaca al-Qur’an. Lalu apakah yang boleh mereka amalkan agar hari-hari Ramadhan tidak berlalu begitu sahaja ketika mereka didatangi haid?
Penulis menjawab, kalian boleh membaca al-Qur’an ketika haid. Jawapan ini secara automatis dibalas dengan soalan: “Bukankah wanita yang didatangi haid dilarang daripada memegang dan membaca al-Qur’an?” Soalan ini memerlukan jawapan yang panjang lagi mendalam. Berikut adalah jawapan penulis tentang hukum sebenar bagi wanita memegang dan membaca al-Qur’an ketika didatangi haid, sama ada di bulan Ramadhan atau selain Ramadhan.

Pertama: Hukum wanita yang didatangi haid memegang al-Qur’an.
Umumnya terdapat dua pendapat, yang pertama mengatakan tidak boleh manakala yang kedua berkata boleh. Pendapat yang pertama merujuk kepada firman Allah:
Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci. [al-Waqiah 56:79]

Diikuti dengan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
Tidaklah menyentuh al-Qur’an dan tidak juga mushaf melainkan orang yang suci.[1]

Manakala bagi pendapat kedua, mereka berpegang kepada kaedah bahawa seseorang wanita yang sedang haid boleh melakukan semua perkara seperti biasa melainkan wujud dalil tepat (qathi) yang melarangnya. Dalam hal ini yang jelas dilarang adalah bersolat, berpuasa, melakukan tawaf dan bersetubuh. Adapun hukum memegang al-Qur’an, tidak ada dalil tepat yang melarang seseorang yang sedang haid daripada memegangnya.
Ayat al-Qur’an yang dijadikan rujukan oleh pendapat pertama adalah tidak tepat untuk dijadikan hujah kerana perkataan al-Mutatahharun sebenarnya merujuk kepada para malaikat sebagaimana yang boleh dilihat daripada keseluruhan ayat yang berkaitan:
Bahawa sesungguhnya itu ialah Al-Quran yang mulia, Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara, Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci; Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam. [al-Waqiah 56:77-80][2]

Berkata Ibnu Abbas radhiallahu 'anh, ayat “fii Kitabim-maknun” bererti di langit, yakni di al-Lauh al-Mahfuz manakala al-Mutatahharun adalah para malaikat yang suci.[3]
Justeru keseluruhan ayat sebenarnya menerangkan tentang kitab al-Qur’an yang sebelum ini tersimpan dalam al-Lauh al-Mahfuz, di sana ia tidak disentuh oleh sesiapa kecuali para malaikat sehinggalah ia diturunkan ke bumi kepada manusia.
Hadis yang dijadikan dalil melarang adalah juga tidak tepat sandarannya kerana perkataan al-Taharun yang bererti suci adalah satu perkataan yang memiliki banyak erti (lafaz Mushtarak) dan mengikut kaedah Usul Fiqh: Sesuatu perkataan yang memiliki banyak erti tidak boleh dibataskan kepada satu maksud tertentu melainkan wujud petunjuk yang dapat mendokongi pembatasan tersebut.
Perkataan suci dalam hadis di atas boleh bererti suci daripada najis seperti tahi dan air kencing. Boleh juga bererti suci daripada hadas besar seperti haid dan junub, dan suci daripada hadas kecil yakni seseorang yang dalam keadaan wudhu’. Ia juga boleh bererti suci dari sudut akidah sepertimana firman Allah terhadap orang-orang musyrik:
Sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis. [al-Taubah 9:28]
Oleh itu perlu dicari maksud sebenar kepada perkataan suci dalam hadis di atas. Salah satu caranya ialah dengan mengkaji keseluruhan hadis di mana ia sebenarnya adalah sepucuk surat yang dihantar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada seorang sahabat di Yaman. Pada saat itu Yaman adalah sebuah wilayah yang penduduknya masih terdiri daripada campuran orang bukan Islam dan Islam, justeru kemungkinan yang besar adalah surat tersebut bertujuan melarang al-Qur’an daripada disentuh oleh orang bukan Islam.
Himpunan antara asal usul hadis dan rujukan al-Qur’an kepada orang musyrik sebagai najis dapat mengarah kepada satu petunjuk yang tepat bahawa erti suci dalam hadis di atas sebenarnya merujuk kepada orang Islam. Justeru keseluruhan hadis sebenarnya melarang orang-orang bukan Islam daripada memegang kitab atau mushaf al-Qur’an.
Akhirnya jika dianalisa antara dua pendapat di atas, yang lebih tepat adalah pendapat kedua yang membolehkan seorang wanita yang sedang haid untuk memegang al-Qur’an.

Kedua: Hukum wanita yang didatangi haid membaca al-Qur’an.
Dalam persoalan ini terdapat sebuah hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haid.[4]
Hadis ini memiliki beberapa jalan periwayatan namun setiap darinya adalah dha‘if. Berkata Imam al-Nawawi rahimahullah (676H):[5]

Adapun hadis Ibn Umar: “Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haid” , maka ia diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Baihaqi dan selainnya. Ia adalah hadis yang dha‘if, didha‘ifkan oleh al-Bukhari, al-Baihaqi dan selainnya. Kedha‘ifan yang terdapat padanya adalah jelas.
Namun sebahagian ahli fiqh tetap melarang seorang wanita yang sedang haid daripada membaca al-Qur’an kerana diqiyaskan keadaan haid kepada keadaan junub.[6] Namun hal ini dianggap tidak tepat kerana dua sebab:

1. Peranan qiyas ialah mengeluarkan hukum bagi perkara-perkara yang tidak wujud pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apa-apa perkara baru yang wujud selepas itu, maka hukumnya disandarkan secara analogi kepada sesuatu yang sudah sedia dihukumkan pada zaman Rasulullah berdasarkan kesamaan sebabnya (‘illat). Adapun haid, maka ia adalah sesuatu yang wujud secara lazim pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apabila pada zaman itu Allah dan Rasul-Nya tidak menjatuhkan hukum melarang wanita yang haid daripada membaca al-Qur’an, maka tidak perlu bagi orang-orang terkemudian membuat hukum yang baru.

2. Haid dan junub adalah dua keadaan yang jauh berbeza. Junub adalah satu keadaan di mana seseorang itu memiliki pilihan untuk berada dalamnya atau tidak, dan seseorang itu boleh keluar daripada keadaan junub pada bila-bila masa melalui mandi wajib atau tayamum. Berbeza halnya dengan haid, ia bermula dan berakhir tanpa pilihan.
Sebahagian lain melarang atas dasar memelihara kesucian dan keagungan al-Qur’an. Justeru mereka berpendapat tidak boleh membaca (mentilawahkan) al-Qur’an kecuali beberapa perkataan atas dasar zikir dan memperoleh keberkatan.[7]

Pendapat ini juga dianggap kurang tepat kerana seseorang wanita, sama ada dalam keadaan haid atau tidak, tetap dianggap suci dan dihalalkan bagi mereka semua yang dihalalkan melainkan wujudnya dalil yang sahih yang melarang sesuatu ibadah seperti solat, puasa, tawaf dan bersetubuh. Adapun pensyari‘atan mandi wajib selepas berakhirnya tempoh haid, ia adalah penyucian atas sesuatu yang sedia suci dan bukannya penyucian atas sesuatu yang sebelum itu bersifat najis. Oleh itu tidaklah berkurang sedikitpun kesucian dan keagungan al-Qur’an apabila ia dibaca oleh seseorang wanita yang sedang dalam keadaan haid.
Pernah sekali Abu Hurairah radhiallahu 'anh mengasingkan diri daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Beliau balik ke rumah untuk mandi wajib dan kemudian kembali. Rasulullah bertanya kenapakah dilakukan sedemikian, lalu Abu Hurairah menerangkan bahawa tadi beliau sebenarnya dalam keadaan junub. Mendengar itu Rasulullah bersabda:
Subhanallah! Wahai Abu Hurairah! Sesungguhnya orang mukmin tidaklah ia menjadi najis.[8]
Kata-kata Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di atas bersifat umum, menunjukkan bahawa seorang mukmin tidaklah ia sekali-kali akan berada dalam keadaan najis sekalipun dia dalam keadaan junub. Termasuk dalam keumuman hadis ini ialah wanita yang sedang haid.
Sebagai rumusan kepada kupasan ini, berikut dinukil kata-kata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H):[9]

Sesungguhnya para wanita mereka mengalami haid pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, maka seandainya membaca al-Qur’an diharamkan ke atas mereka (ketika haid) sepertimana solat, pasti baginda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam akan menjelaskannya kepada umatnya. Baginda akan mengajarnya kepada para Ummul Mukminun (para isteri baginda) dan akan dinukil daripada mereka oleh orang ramai. Akan tetapi tidak ada satupun (riwayat) yang melarang yang dinukil daripada Nabi. Oleh itu hal ini tidak boleh dianggap terlarang padahal telah diketahui bahawa baginda tidak melarangnya. Justeru jika baginda tidak melarangnya padahal ramai wanita yang haid di zamannya, maka sesungguhnya ketahuilah bahawa ia sememangnya tidak haram.

Kesimpulan:
Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Alif-Lam-Mim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya; ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa. [al-Baqarah 2:1-2]
Setiap individu Muslim yang bertaqwa memerlukan al-Qur’an sebagai kitab yang memberi petunjuk kepada mereka. Petunjuk ini diperlukan pada setiap masa dan tempat, termasuk oleh para wanita ketika mereka didatangi haid. Tidak mungkin untuk dikatakan bahawa ketika haid mereka tidak memerlukan petunjuk dalam kehidupan sehari-harian mereka. Atas keperluan inilah al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih tidak melarang para wanita yang didatangi haid daripada memegang dan membaca al-Qur’an seperti biasa. Adapun pendapat yang mengatakan ianya haram, ia adalah pendapat yang lemah sekalipun masyhur.





________________________________________
[1] Sahih: Hadis daripada ‘Amr bin Hazm radhiallahu 'anh, dikeluarkan oleh Ibn Hibban, al-Hakim, Baihaqi dan lain-lain melalui beberapa jalan yang setiap darinya memiliki kelemahan. Namun setiap darinya saling menguat antara satu sama lain sehingga dapat diangkat ke taraf sahih, atau setepatnya sahih lighairihi. Lihat semakan Badri Abdul al-Samad dalam al-Itihaf bi Takhrij Ahadith al-Isyraf ‘ala Masail al-Ikhtilaf (Dar al-Buhts, Dubai 1999), jld. 1, ms. 77-82.
[2] Ayat yang sama ini juga digunakan oleh mereka yang berpendapat wajib berwudhu’ sebelum memegang al-Qur’an, baik bagi lelaki atau wanita. Berdasarkan penjelasan yang sama di atas, dapat diketahui bahawa tidaklah tepat untuk menggunakan ayat ini sebagai dalil wajib berwudhu’. Oleh itu yang benar adalah, boleh memegang dan membaca al-Qur’an sekalipun tanpa berwudhu’.
[3] Demikian juga keterangan beberapa sahabat dan tabi‘in sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Jarir al-Thabari dalam Jamii al-Bayan (Dar al-Fikr, Beirut 1999), riwayat no: 25955 – 25970. Lihat juga al-Mawardi - Al-Nukatu wa al-‘Uyun (Dar al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut), jld. 5, ms. 463-464.
[4] Dha‘if: Hadis daripada ‘Abd Allah ibn Umar radhiallahu 'anh, dikeluarkan oleh al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Daruquthni dan lain-lain. Ia memiliki 3 jalan periwayatan yang semuanya dha‘if. Shaikh al-Albani tidak menjadikannya penguat antara satu sama lain manakala Badri ‘Abd al-Samad berpendapat ia saling menguat sehingga dapat diangkat ke taraf hasan (hasan lighairihi). Lihat Irwa al-Ghaleel fi Takhrij Ahadith Manar al-Sabil (Maktabah al-Islami, Beirut), hadis no: 192 dan al-Ittihaf bi Takhrij Ahadith al-Isyraf, jld 1, ms 83-84.
[5] Majmu’ Syarh al-Muhazzab (Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut 2001), jld. 2, ms. 123-125 (Kitab Taharah, Bab Apa yang mewajibkan mandi, Bab Hukum terhadap 3 perkara).
[6] Lihat Majmu Syarh al-Muhazzab jld. 2, ms. 267-268 (Kitab Haid, berkata al-Musannif: “Dan dilarang atasnya membaca Qur’an….”).
[7] Lihat al-Kasani – al-Bada‘i al-Sona‘i (Dar al-Kitab al-Arabi, Beirut 1982), jld. 1, ms. 38 (Bab permasalahan adab-adab wudhu’).
[8] Sahih: Ringkasan hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim, lihat al-Lu’ Lu’ wa al-Marjan (Fu‘ad Abdul Baqi; Dar al-Salam, Riyadh 1995) – hadis no: 210.
[9] Majmu al-Fatawa (Dar al-Wafa’, Kaherah 2001), jld. 26, ms. 191. Lihat juga pembahasan Ibn Hazm dalam al-Muhalla (Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut), jld. 1, ms. 78-85 (Masalah no: 116: Membaca al-Qur’an dan bersujud dan menyentuh mushaf).

Tuesday, May 26, 2009

usaha burung kecil

Ali, seorang kanak-kanak yang sedang menuntut di tadika, meyelak-nyelak halaman surat khabar Harakah sambil mengemas kini profil Facebooknya. Sedang Ali melawati profil-profil gadis di Facebook yang berpotensi untuk dijadikan isteri, Ali terjumpa seketol artikel.

--------


Ketika rakyat Islam Bosnia disembelih oleh para militari Serb, pada malam sebelumnya mereka hidup seperti biasa dan tidak pernah terlintas bahawa keesokan harinya akan bermulanya hari celaka bagi mereka. Jadi, untuk sejenak cuba kita berfikir dalam bentuk reverse engineering iaitu: Bagaimana jika kita yang diserang oleh kuasa kuffar seperti negara Islam lain, dan negara Islam yang lain plak jadik cam kita?

Untuk menanam kesedaran ke atas Melayu Yang Mudah Lupa,(Melayu Mudah Lupa kata Mahathir) Amerika menyatakan Malaysia sarang pengganas... ada pejuang Hizbullah terlepas ke malaysia... lalu menghantar Kapal Pengangkut Pesawatnya (CARRIER) di Selat Melaka dan di Laut China Selatan.

Menghantar kapal selam nuklearnya dengan muatan peluru berpandu membawa armada tentera untuk menyerang malaysia... Amerika menyuruh negara berhampiran dengan Malaysia yang merupakan sekutu rapatnya Singapura di selatan, Thailand di Utara dan Filipina di Timur menyerang Malaysia dengan alasan memburu pengganas al-Qaeda atau Hizbullah sama seperti alasan Israel menyerang Lubnan dan Palestin.

Walaupun Malaysia cakap Malaysia negara bebas pengganas tentera, Kuffar tetap menyerang malaysia jugak sama seperti mereka menyerang Iraq kerana mereka dakwa Iraq ada senjata pemusnah, Afghanistan ada Pengganas Taliban, Lubnan ada Pengganas Hibullah dan Malaysia ada Pengganas Jemaah Islamiah.

Malaysia tetap mempertahankan Malaysia ini tidak ada pengganas tetapi suara kita tidak dihiraukan sama seperti mereka tidak hiraukan Afghanistan , Iraq , Lubnan dan Palestin.

Sebelum tiba saat MALAYSIA DISERANG ini, Perdana Menteri kita, YB Wakil Rakyat, Parlimen dan ADUN, tauke-tauke Cina yang kaya, semua cabut lari ke keluar negara dengan jet dan pesawat peribadi masing-masing. Mereka ada duit untuk cari perlindungan di luar negara.

Tinggallah rakyat Melayu Islam yang miskin hina ini di negara sendiri, menunggu masa untuk diserang oleh tentera Kuffar Amerika dan sekutunya. Barulah rakyat tahu bahawa pemimpin Melayu dan tauke cina yang dijadikan pepimpin sebelum ini tidak sama seperti Khalifah Umar Al-Khattab, Khalifah Ali Abi Thalib, Khalifah Khalid Al-Walid, Khalifah Salahuddin Al-Ayubbi yang sanggup berada di barisan hadapan berdepan musuh-musuh Islam.

SAAT Peperangan bermula...

Tempat yang mula-mula sekali dibom adalah Putrajaya, diikuti negeri-negeri lain. Amerika dan sekutunya mengebom, melancar peluru berpandu, membedil, menembak rakyat Malaysia, mereka membunuh orang tua, perempuan dan anak-anak kecil orang melayu Islam kita... sama seperti Yahudi menembak dan membunuh rakyat Lubnan yang tak berdosa!!!


Amerika dan sekutunya menyerang MALAYSIA secara besar-besaran. Apabila selesai pesawat pejuang di Selat Melaka mengebom Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur, datang lagi pesawat musuh silih berganti...

Apabila selesai pesawat pejuang di laut China Selatan mengebom Kelantan, Terengganu, Pahang, datang lagi pesawat musuh silih berganti. Johor pula dibedil dengan peluru berpandu jarak sederhana Singapura, diserang dengan jet-jet pejuang Singapura yang sentiasa melalui ruang udaranya, menghujani bom-bom dan roket. Kemudian Johor dan negeri sembilan dapat ditawan tentera musuh.

Anda di berada di Kedah, pasukan darat tentera Bersekutu mara dari bahagian Utara, tentera bersekutu semakin dekat dengan rumah anda, menentang pintu rumah anda, anda bersama dengan Isteri yang sarat mengandung dan 3 orang anak ketakutan dalam rumah.

Tentera bersekutu memperkosa anak perempuan yang berusia 12 tahun anda depan mata anda sebagaimana tentera Sebia memperkosa umat Islam Bosnia. Muncung senapang ditujukan di kepala anda, anak perempuan kesayangan anda yang anda bawak masa jamuan Raya 2006 diajukan muncung senapang.

PANG!!!!... anak kesayangan anda mati ditembak oleh tentera bersekutu. Sebelum ini anda melihat anak umat islam Lubnan, Palestin mati ditembak, anda tidak mempunyai perasaan apa-apa, sekarang berlaku kepada diri sendiri, baru tahu perasaan sedih anak mati ditembak di depan mata.

Anda menangis ketakutan...

Tentera bersekutu merampas Isteri anda yang sarat mengandung, dibawa menaiki trak untuk dijadikan habuan tentera dalam kem. Anda dipukul separuh mati oleh tentera bersekutu meninggalkan anda patah riuk berlumuran darah. Anda sangka anda sudah mati tetapi umur anda masih panjang... Anda masih hidup. Anda merangkak menuju ke hutan berhampiran disebuah bukit untuk menyembunyikan diri.

Anda mengalirkan air mata... INGAT AKAN ALLAH...

Ujian peperangan berlaku didepan mata anda sekarang. Anda sebelum ini tidak pernah terlintas dengan peperangan. Kita sering disogokkan negara kita aman, tiada peperangan, tiada pertumpahan darah tiba-tiba hari ini diuji berlaku peperangan.

Pemimpin tersebut yang menyatakan negara kita aman cabut menghilangkan diri. Anda sudah tiada siapa lagi didunia ini. Anak perempuan diperkosa dan dibunuh didepan mata. Anak kecil ditembak didepan mata. Isteri dirampas untuk diperkosa didepan mata!!! Kawan-kawan, rakan taulan ramai yang terkorban dan tidak kurang juga yang cedera parah.



Di puncak bukit anda melihat kampung halaman anda terbakar. Mayat orang melayu Islam bergelimpangan mati terutama golongan orang tua dan kanak-kanak yang tidak sempat melarikan diri. Mereka tidak bernasib baik seperti anda.

Diatas bukit itu juga anda melihat beribu-ribu tentera bersekutu berkumpul untuk membunuh dan menembak saki-baki orang melayu Islam yang masih selamat, menggeledah setiap ruang yang ada untuk memburu Al-Qaeda, Hizbullah atau Jemaah Islamiah. Tetapi umat Islam lain yang jadi mangsa, sementara menunggu sakaratul maut menjemput anda apabila anda tersua dengan tentera bersekutu nanti.

Apa yang anda Harapkan pada masa itu????

Tiada perkara lain yang anda harapkan kecuali... BANTUAN ALLAH... BANTUAN TENTERA UNTUK MEMBELA AGAMA ALLAH...

ANDA MENGHARAPKAN UMAT ISLAM DARI NEGARA LAIN MEMBERI BANTUAN KETENTERAAN KEPADA MALAYSIA... ANDA MENGHARAPKAN SAUDARA SEAGAMA DENGAN ANDA MELINDUNGI ANDA DARIPADA SERANGAN TENTERA KUFFAR!!! ANDA MENGHARAPKAN BANTUAN TENTERA JIHAD FI SABILILLAH DARIPADA INDONESIA, SELATAN THAILAND, BANGLADESH, PAKISTAN,DAN NEGARA OIC YANG LAIN... BAGI MELAWAN TENTERA PENCEROBOH BUMI MALAYSIA INI...

Tetapi tunggu punya tunggu... bantuan ketenteraan tidak kunjung tiba...

ANDA TERDENGAR UCAPAN DARIPADA PEMIMPIN DUNIA ISLAM YANG LAIN menyatakan:

"Kami Negara-Negara Islam mengutuk tentera PENCEROBOH menyerang Malaysia "
(Presiden Burkina Faso, Pengerusi OIC yang baru)

"Kami akan menghantar 10 000 Tentera pengaman ke MALAYSIA selepas tamat perang nanti... setelah habis kawasan Malaysia dibom oleh tentera bersekutu"(Presiden NAM )

"Alhamdulillah. .. Negara kita Indonesia aman damai berbanding dengan negara Malaysia yang dilanda peperangan.. . Kita semua patut bersyukur... kita dapat menyambut hari raya aidilfitri dan deepavali dalam suasana yang aman harmoni", Presiden Indonesia- Negara Umat Islam paling ramai. (Pemimpin Malaysia selalu sebut camni)

"Tak apa... selepas peperangan tamat... Kami akan menghantar para pendakwah ke Malaysia untuk mendidik rakyat Malaysia " Wakil Penduduk Islam Selatan Thailand )

"Kami akan menghantar bekalan makanan dan ubatan kepada Penduduk Islam Malaysia yang dilanda peperangan" Pemimpin Arab Saudi)...bagi komen dan pendapat...

APA PERASAAN ANDA APABILA MENDENGAR UCAPAN PEMIMPIN-PEMIMPIN ISLAM SEPERTI DIATAS DIKALA ANDA MEMERLUKAN BANTUAN KETENTERAAN DARIPADA MEREKA??

Marilah kita fikir dan muhasabah diri sendiri....


http://kerenahdunia.blogspot.com

---------------

Ali berasa satu perasaan takut yang amat sangat setelah selesai membacanya. Tidak pernah Ali berasa sebegitu takut kecuali ketika sedang dipotong rambut. Lantas Ali mendapatkan uminya yang ketika itu sedang menonton Charlie Chaplin show sambil mengupas bawang.

Ali: Umi, ble Ali bace artikel pasal Malaysia nak kena serang, takut betol lah umi. Macam betol je. Negara kita yang bebas perang ni tak tolong diorang ke umi?

Umi: Itulah Ali, diorang kan saudara kita jugak? Mestilah kita ada tolong. Malaysia ada juga salurkan bekalan makanan, perubatan, dan lain-lain lagi. Kita pun disarankan untuk memboikot barangan-barangan macam Nestle, Starbucks, Coca-Cola, McD, Kfc dan lain-lain. Pendek kata, sume makanan yang sedap-sedap sekarang dah kena boikot sayang.

Ali: Ye ke umi? McD pun? TIIIIIIDDDDDDAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAKKK…!!! Macamana Ali nak hidup kalau tak makan McD? Kan McD tu sedap? (kerisauan jelas tergambar di wajah Ali)

Umi: Alah, kalau nak cari makanan yang sedap, banyak lagi pilihan. Kita cari restoran keluarga yang murah dan sedap lain ya? Asalkan MURAHHH..ya Ali?

Ali: Ye Umi. Roger and out. Tapi besar ke kesannya kalau kita boikot barangan-barangan tu umi? Orang lain tak boikot pun? Kalau orang lain pun tak nak, takkan impaknya besar umi? (Ali berlagak seperti seorang professor)

Umi: Sekarang Coca cola dah diuar-uarkan yang mereka tidak akan menyambung kontrak mereka selepas ini, Nestle pula menyiarkan iklan secara besar-besaran yang mereka bukan hanya melabur di Israel tapi tetap memberi modal mereka ke negara-negara Arab dan Malaysia juga. Starbucks pula sudah merayu-rayu agar rakyat Malaysia tidak memboikot barangan mereka. Ini memb uktikan kita boleh memberikan impak kepada mereka. Yang penting bukan kesan, tapi usaha kita ke arah menolong saudara kita. Ingat lagi cerita burung kecil dan Nabi Ibrahim? Semasa Nabi Ibrahim dibakar oleh kaumnya, ada seekor burung kecil comel yang menonton peristiwa itu, lalu terus terbang berulang-alik mencari air. Burung kecil itu menyedut dan mengisi air di dalam paruhnya lalu dilepaskannya ke atas unggun api yang membakar Nabi Ibrahim a.s. Itulah yang dilakukannya berulang-ulang kali, sehinggalah Nabi Ibrahim a.s. dikeluarkan daripada api.

Perbuatan burung kecil itu diperhatikan oleh makhluk Allah yang lain, lantas bertanya kepada burung kecil itu, "Mengapakah kamu bersusah-payah berulang-alik mengambil air, sedangkan kamu tahu api besar yang membakar Nabi Ibrahim takkan terpadam dengan sedikit air yang kamu siramkan itu?"

Lalu dijawab oleh burung kecil, "Walaupun aku tahu aku tidak berupaya memadam api tersebut, namun aku mesti berusaha untuk menegakkan kebenaran atas kemampuan yang terdaya oleh diriku sendiri, Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkan api itu ataupun tidak! Aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, kelak di hadapan Allah aktu tidak akan dipertanggung-jawapkan kerana aku telah berusaha melakukan sesuatu apabila melihat kezaliman!"

Ali: Begitukah umiku? Umi pun boikot Maggie dan F&N ek? Kan kita nak tolong orang Islam juga. Kan?

Umi: Er..er…yela sayang.(sambil berpeloh-peloh) Pandai anak umi. Nanti besok umi belikan mainan ye?

Ali: Umi Ali pun pandai juga. Nanti besok Ali belikan mainan ye?Hehe..

Dua bulan sudah berlalu. Ali juga telah meningkat dewasa menjadi seorang budak lelaki yang tulen dan sejati. Ali juga telah tamat pengajian di tadika dengan kepujian kelas pertama.Namun, pada suatu hari..

Ali: Umi,memandangkan anakmu sudah berjaya di tadika, apakah kiranya jika kita menyambut kejayaan anakmu dengan membeli barang permainan barangkali?

Umi: Amboi-amboi Ali, bukan main ya sekarang? Kita nak celebrate kejayaan Ali lah ni.Umi belanja makan nak?(Umi menyelok pursenya yang semakin kurus,sindrom akhir bulan)

Ali: Ala, Ali nak makan yang mahal la Umi. Boleh?

Umi: Kita g McD jela ek? Mcd kan ader wat promosi murahan. Jimat dan sedap. Fav Ali kan?

Ali: Jom!! Walaupun ader banyak lagi pilihan lain, kita pergi Mcd jela!! Eh, umi ingat lagi cerita pasal burung kecil dan Nabi Ibrahim?

Umi: Cerita ape pulak nie..jom makan!!







"..Masih lagi elergik dan benci akan muka-muka (bahagia) yang sedang menikmati makanan-makanan di McD tanpa rasa bersalah sedikit pn)..."


Tuesday, March 3, 2009

Pergaulan Bebas~


"Katakanlah kepada lelaki-lelaki dari orang-orang beriman supaya menahan pandangan mereka serta menjaga kehormatan mereka dan katakanlah kepada perempuan-perempuan dari orang-orang yang beriman supaya menahan penglihatan mereka serta menjaga kehormatan mereka." (An-Nur:31)


Assalamualaikum dan salam ukhwah saya ucapkan. Sudah lama saya tidak berkesempatan mengemaskini ruangan ini. Final exam yang mencemburui hubungan cinta saya dan blog ini membataskan saya untuk menulis. Cheewaah. Apa yang bakal saya ulas adalah satu fenomena yang sangat popular dan tinggi ratingnya ~


PERGAULAN BEBAS~




Pergaulan secara bebas (atau nama glamournya: ikhtilat) yang melibatkan lelaki dan perempuan yang ajnabi. Seperti budaya menyokong yahudi dengan cara membeli barangan mereka, ikhtilat merupakan aktiviti yang ditegah oleh Islam sekiranya tiada sebab yang dibenarkan. Sesungguhnya mengambil mudah persoalan ikhtilat boleh membuka ruang maksiat yang berleluasa dalam masyarakat tanpa kita sedari.


Satu alasan yang sangat cliché dari muda-mudi sekarang adalah berjumpa kerana kerja. Mungkin perhubungan itu bermula dengan kerja tetapi akhirnya melarat kepada perkongsian peribadi bukan perkongsian kepakaran. Alasan ini akan mungkin akan menjurus ke arah maksiat, sehingga ke arah yang paling hina (perkongsian tempat tidur yang empuk).Kononnya hendak memahami dan mewujudkan keserasian dalam bekerja. Seolah-olah kita mencari keredhaan manusia dalam kemurkaan Allah.


Pergaulan bebas adalah satu fenomena yang mendatangkan banyak faedah kepada syaitan.

Antara faedah-faedah tersebut adalah:

  • Wujudnya anak-anak luar nikah

  • Kes-kes pembuangan bayi semakin berleluasa.
  • Wanita-wanita semakin ramai yang merana di akhir rancangan
  • Lebih ramai bapa-bapa muda yang sangat berminat dengan Playstation.


Namun, ada pengecualian dimana lelaki dan perempuan boleh berjumpa. Beberapa situasi yang mebolehkan pergaulan adalah seperti menuntut ilmu, penyaksian, perubatan dan jual beli.

Harus diingatkan bahawa masih wujud adab-adab dan batasan yang menegah pergaulan bebas.


Tundukan pandangan.

Opah saya penah berkata, "make eye contact with the person you're talking to". Tapi kadang-kadang konsep ini tidak dapat diguna.( Melainkan dengan kaum sejenis.) Berhati-hatilah dengan konsep "dari mata turun ke hati", kerana ia.mungkin akan ke dada. Tak bermakna tundukan pandangan sehingga jalan terlanggar tiang lampu,ataupun seperti warganegara Jepun.


Tundukkan hati.

Banyak-banyaklah berdoa semoga urusan dipermudahkan dan bebas daripada fitnah. Minta dari Allah supaya dipelihara daripada panahan syaitan.

Kurangkan berhubungan dengan kaum berlawanan.

Kalau ada peluang untuk minta backup dapi wanita (bagi perempuan) dan dan jejaka (bagi bagi lelaki), mintalah tolong mereka. Lainlah benda-benda di luar kemampuan kita contohnya apabila seorang perempuan minta bantuan seorang lelaki membaiki kereta, basikal dan perkara-perkara yang tak mampu dilakukan.


Ringkaskan dan padatkan ayat-ayat.

Andai terpaksa berkomunikasi dengan bukan muhrim gunakanlah medium berbentuk tulisan seperti sms, nota kecil dan sebagainya. Tak perlulah meletakkan ikon smiley yang sememangnya comel. Apatah lagi benda-benda lain yang kurang berfaedah.

Sekiranya kita memilih untuk bercakap,

"Wahai isteri2 nabi, kamu bukanlah seperti perempuan-perempuan lain jika kamu bertaqwa. Maka janganlah lemah lembutkan suara dalam berbicara, sehingga bangkit nafsu org yang ada penyakit dlm hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan yg baik."


Mempercepatkan urusan.

Apabila ada urusan, segerakanlah kerja. Hal peribadi, luahan hati, gelak ketawa dan sebagainya yang tidak penting tidak perlu dikongsi. mesyuarahlah di tempat yang sesuai dan segerakan urusan. Jangan lupa bawa peneman dan telefon bimbit anda.